Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-13 SK Medini Berlangsung Dengan Jayanya
SK Medini telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-13 pada 8 April 2026 bertempat di Dewan SK Medini dengan kehadiran barisan pentadbir sekolah, guru-guru serta ibu bapa dan penjaga. Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa demi pembangunan serta kemenjadian murid.
Mesyuarat turut membentangkan laporan kewangan dan aktiviti PIBG bagi tahun 2025, termasuk pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan melibatkan kebajikan murid, penambahbaikan infrastruktur sekolah, pembangunan akademik dan kokurikulum. PIBG turut berkongsi hala tuju serta perancangan masa hadapan bagi memastikan SK Medini terus berkembang sebagai sekolah yang kondusif dan progresif.
Antara perkara yang diketengahkan ialah perancangan menaik taraf kemudahan sekolah, cadangan projek Renewable & Green Energy (Solar) serta The Leadership Program yang memberi pendedahan kepimpinan kepada murid melalui lawatan dan aktiviti khas.
Mesyuarat ini juga menyaksikan pelantikan barisan Ahli Jawatankuasa PIBG sesi 2026/2027 yang baharu, dengan Mohamad Shukry bin Mohd Radzi dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG SK Medini bagi sesi tersebut. Barisan kepimpinan baharu diharapkan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan hubungan sekolah dan komuniti serta merealisasikan pelbagai agenda pembangunan sekolah.
Pihak PIBG merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga sekolah dan ibu bapa atas sokongan serta komitmen yang diberikan. Semoga kerjasama erat ini dapat terus diperkukuhkan demi kecemerlangan SK Medini pada masa hadapan.



